Sunday 6 September 2015

Bapa Pembangunan : Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein

NAMA: Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein

GELARAN: Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia

TARIKH & TEMPAT LAHIR: Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922.

  • Tun Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau telah dilantik untuk menggantikan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada tahun 1971. Sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota kerajaan, beliau telah banyak memberikan sumbangan khasnya dalam pembangunan negara dan luar bandar. Beliau meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976.

SUMBANGAN:-

  • PENDIDIKAN: Pada tahun 1955, kerajaan perikatan telah membentuk sebuah Jawatankuasa Pelajaran yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak selaku Menteri Pelajaran ketika itu. Tindakan awal Tun Razak apabila memegang jawatan tersebut adalah merombakkan sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Beliau mendapati sekolah-sekolah Melayu serta sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak memberi sebarang keuntungan kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu sebaliknya mewujudkan perbezaan ras dalam masyarakat pelbagai kaum. Hasil usaha Tun Razak, telah membawa kepada terhasilnya Penyata Razak pada tahun 1956, yang berjaya menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dengan harapan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama. Penyata Razak telah mengemukakan dua elemen penting dalam dasar pendidikan, iaitu sistem persekolahan yang sama untuk semua dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Beliau menganggap bahawa dasar tersebut mampu menyuburkan semangat perpaduan negara. Penyata Razak kemudiannya dijadikan Ordinan Pelajaran 1957.

  • PERTAHANAN DAN KESELAMATAN: Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, juga turut memegang portfolio Menteri Pertahanan pada tahun 1957. Beliau telah membawa perubahan kepada angkatan tentera dengan melengkapkannya dengan senjata yang moden dan efisien. Sebagai bekas anggota askar wataniah, beliau mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga 'darurat', iaitu satu tempoh 12 tahun memerangi pengganas komunis disytiharkan tamat pada tahun 1960. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga melancarkan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tetangga untuk menjamin keselamatan rakyat. Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Beliau telah dilantik oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj iaitu Perdana Menteri ketika itu sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan.

  •  PEMBANGUNAN: Pada tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan di bawah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Kementerian ini telah ditugaskan untuk menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi seperti FELDA dan MARA (dahulunya RIDA) telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggerakkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar. Dalam Rancangan Malaya Pertama, kerajaan telah memperuntukkan 44.5% daripada bajet keseluruhan sebanyak RM1100 juta bagi pembangunan ekonomi. Selama 10 tahun memegang potfolio itu, Tun Razak telah berjaya membasmi buta huruf di kalangan tiga juta rakyat. Tun Abdul Razak telah mengumumkan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran di seluruh negara pada 24 Oktober 1960. Rancangan tersebut diadakan untuk menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah sekaligus memajukan tanah tersebut. Tanah-tanah rancangan adalah dibawah pengurusan pihak berkuasa FELDA. Pada permulaannya terdapat 40 tanah rancangan yang disertai oleh 400 buah keluarga. Pelan pembukaan tanah tersebut telah menjadi asas kepada kemakmuran rakyat di kawasan luar bandar. Beliau juga mengumumkan penubuhan FELCRA atau Penubuhan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan pada 20 September 1964. Penubuhan FELCRA adalah sejajar dengan hasrat DEB untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum-kaum di negara ini. Melalui dasar tersebut, hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan. Beliau juga bertanggungjawab merangka program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian. Sebanyak tiga juta ekar padi, kelapa dan pelbagai tanaman lain diberikan kemudahan tali air manakala 800 000 ekar hutan telah dibuka untuk pembangunan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai 'Buku Merah'. Sumbangan Tun Abdul Razak yang paling penting adalah ke arah pembangunan Malaysia. Tujuan beliau adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit. Dengan itu, Tun Abdul Razak melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang mencartakan pembangunan negara secara berperingkat melalui Rancangan-Rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990.

No comments:

Post a Comment